SEJARAH PENUBUHAN



SK PULAPAH telah ditubuhkan pada 25 Disember 1985, atas cadangan YAS Tuan Andy Murugesu, Komandan PULAPAH pada waktu itu. Walaupun wujud secara menumpang di bangunan sekolah undang-undang PDRM PULAPAH, SK PULAPAH mampu memberi pendidikan awal kepada anak-anak anggota PDRM yang bertugas di PULAPAH. Bersekolah pada sesi petang, bilangan murid perintis pada awal penubuhannya ialah seramai 170 orang dengan kekuatan tenaga pengajar seramai 10 orang.Pada Disember 1989, SK PULAPAH telah mempunyai bangunannya sendiri yang terletak kira-kira 1.5 km dari kawasan penempatan penduduk PULAPAH. Sekolah ini terdiri dari 2 blok bangunan 2 tingkat yang dilengkapi dengan bilik-bilik darjah, pejabat, bilik guru, pusat sumber, stor dan tandas. Sebuah padang dan kantin juga turut disediakan.Kini, setelah hampir 25 tahun kewujudannya, SK pulapah telah berkembang bukan sahaja dari segi fizikal malah telah meletakkan namanya sebaris dengan sekolah-sekolah elit dan bestari yang tersohor di Negeri Sembilan.

Kekuatan tenaga kerja pada tahun 2004 adalah 13 orang guru termasuk Guru Besar, seorang Pembantu Tadbir N17, seorang Pembantu Am Rendah dan 2 orang PRA sambilan. Bilangan murid ketika itu adalah seramai 150 orang.Bermula dari tahun 1997, saban tahun nama SK PULAPAH tidak pernah tercicir dari senarai penerima Anugerah Akademik Cermerlang JPNS. Dalam bidang kokurikulum pula, nama SK PULAPAH begitu gah dalam permainan bola tampar di peringkat negeri. Beberapa orang murid SK PULAPAH juga telah terpilih untuk bermain di peringkat kebangsaan.



No comments:

Post a Comment